Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

Saturday, October 15, 2011

Sayangkan suami


Suami hanyalah tetamu

Saya berpendapat kebanyakan masalah yang sering melanda rumahtangga berpunca daripada skap wanita sendiri yang terlalu sayangkan suami, sanggup mengabdikan diri asalkan suami sayang, walaupun ada kalanya boleh menjerat diri.''
Demikian cerita Marlisya dalam e-melnya.

''Bertambah gigil bila ustaz kata syurga di bawah tapak kaki suami, maka isteri jadi lebih takut, taat membabi buta tanpa mengira sama ada suami itu penzina, peminum, kaki pukul dan tak bertanggungjawab, hingga mereka lupa masa depan sendiri. Pada saya isteri seperti itu hanya membodohkan diri sendiri."

''Kebanyakan suami berpendapat kasih sayangnya setinggi gunung, melimpah ruah sehingga boleh dikongsi ramai wanita yang menjadi isteri-isteri ataupun kekasih. Kerana itulah saya berpendapat suami adalah tetamu dalam kehidupan saya. Suami boleh datang dan pergi sesuka hatinya. Hari ini dia boleh sayangkan kita esok lusa dia boleh berubah dan mencintai orang lain pula."

''Jadi nasihat saya kepada isteri berpada-padalah memberi cinta, kasih dan sayang kepada suami, janganlah sampai menghambakan diri. Kerana jika bercerai suami tetap dipanggil sebagai bekas suami, sudah tiada hubungan lagi dengan kita. Ketika itu jika nasib kurang baik, anak-anak pun dia buat-buat tak kenal kerana tak mahu bertanggungjawab."

Demikian juga halnya dengan anak-anak yang saya ibaratkan juga sebagai tetamu. Sewaktu kecil kita jaga, didik dan membesarkan mereka. Itu tanggungjawab kita, tetapi setelah berkahwin, mereka ada keluarga sendiri, akhirnya kita semakin jauh daripada hidup mereka, hanya sesekali mereka datang menjengok kita ibarat tetamu. Memberi kasih sayang, cinta kepada manusia biarlah berpada-pada, kecuali kepada Allah. Ada isteri terlalu fanatik mencintai suami hingga sanggup mengabaikan diri sendiri. Pada saya itu isteri bodoh."

''Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Pernah 20 tahun dulu suami saya jatuh cinta dengan seorang janda dan bercadang untuk berkahwin. Janda itu kawan baik saya. Bila berita tersebut tersebar saya telefon ibu janda itu dan nasihatkan beliau supaya izinkan anaknya berkahwin."

''Ketika itu saya ada dua orang anak. Tetapi saya setitik air mata pun tak tumpah kerana peristiwa itu. Rasanya tak berbaloi saya nak menangis. Sambil menolong suami memasukkan pakaian dalam beg, saya kata padanya; ''Saya reda awak kahwin dengan wanita itu sekiranya dia lebih baik daripada saya. Mungkin juga Allah nak pertemukan saya dengan lelaki yang lebih baik daripada awak.'' Agaknya kata-kata saya pedas, akhirnya dia tak jadi kahwin, mungkin dia fikir jika saya dirceraikan dia takut saya berkahwin dengan lelaki lain yang mungkin lebih baik daripadanya. Dia jadi cemburu.


Kewangan

''Kini setelah 30 tahun berkahwin dan ada tiga orang anak, kesimpulannya saya rasa tidak perlu mencintai suami 100 peratus, sebaliknya saya jadi isteri yang mementingkan diri sendiri. Saya berkira dalam soal kewangan walaupun 80 peratus perbelanjaan rumah, saya yang sumbang seperti duit pasar, termasuklah duit pengasuh anak ketika mereka kecil dan duit tuisyen setelah mereka besar. Saya reda, biarlah Allah beri keberkatan kepada saya."

''Nasihat saya isteri jangan bergantung 100 peratus pada suami, buat simpanan sendiri, jangan buka akaun bank simpanan bersama, jangan beritahu jumlah duit kita, jangan jadi penjamin kalau suami nak pinjam bank. Kerana kalau ada simpanan sendiri anda tak takut jika suami buat hal, kerana kita pun boleh letak jawatan jadi isteri dengan hati tenang."

''Nasihat emak penuh berkias kepada saya ketika berkahwin dulu, katanya; ''kalau sayang sangat suami jangan tidur dalam perut suami.'' Puas saya fikir apa maksut emak rupanya emak pesan jangan terlalu percayakan suami walaupun kita sayang dia. Ayah pulak ketika saya kahwin dia hadiahkan sebilah kapak kecil (yang saya simpan sampai kini). Ia sebagai simbolik supaya saya jadi isteri yang tabah, cekal dan berani mempertahankan diri dari segala dugaan dan ancaman. Sungguh dalam makna dan nasihat emak ayah kepada saya."

''Jika ada masa saya pergi melancong keluar negara, ke Eropah, Korea dan China atau ke mana sahaja saya teringin. Hati saya tenang di samping anak-anak yang masih menuntut, sebab lepas kahwin saya lambat dapat anak. Kini suami semakin sayangkan saya. Mungkin dia sedar kesilapannya dan merasa rugi kalau ceraikan saya."

''Kepada isteri-isteri yang masih terperangkap dengan masalah dan perangai suami, kerana kesilapan sendiri terlalu mencintainya sepenuh hati, bawalah bersabar. Anda masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan demi masa depan anda. Dekatkan diri dengan Allah semoga anda mendapat ketenangan dan ganjaranNya."

''Kepada ibu bapa yang ada anak perempuan yang akan atau sudah berkahwin titiplah nasihat agar mereka dapat menempuh hidup ini dengan hati terbuka, berani dan cukup bersedia menghadapi masalah rumahtangga. Jika ada anak lelaki nasihat mereka supaya jadi suami bertanggungjawab, kerana kebanyakan punca keruntuhan rumahtangga hari ini adalah kerana kaum lelaki tidak tahu jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah."

''Ingatlah wahai suami semua, hidup anda dan kita semua bukan di dunia ini sahaja, akhirat kelak kita akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan semasa hayat kita. "

''Bagi saya hidup ini terlalu singkat kerana itu wanita perlu mencari sendiri kebahagian, jangan tunggu orang lain membahagiakan kita dan lebih penting jangan perbodohkan diri untuk keselesaan orang lain, walaupun suami sendiri."

''Sebaiknya isteri juga mesti mencari keselesaan hidup di dunia dan di akhirat.'' Pesanan Marlisya menutup cerita.

Kredit to : Utusan

Thursday, March 10, 2011

Pulihkanlah cinta kita semua

"Hanis pulang lewat hari ini sebab ada banyak kerja di pejabat. Hanis minta maaf sebab terpaksa pulang lewat  dan lambat sediakan makan malam buat abang." Suara ikhlas si isteri meredakan suasana  tatkala si suami juga penat bekerja menanti kepulangan permaisuri ke pangkuan.


"Hanis buatlah kerja. Itu amanah Hanis dengan Allah SWT. Amanah Hanis dengan majikan.  Lagipun abang dah biasa macam ni masa bujang dulu." Si suami pula menyapa lembut lantas mendamaikan petang yang seakan-akan kelam.


***


Bebanan kian terasa tatkala pernikahan baru mencecah usia tiga bulan.  Inai di jari juga masih merah . Dia juga tahu amanah mahupun tanggungjawab itu harus dipikul, bukan dilepaskan atau dibiarkan. Setiap orang akan tahu betapa beratnya bebanan sebagai pasangan suami isteri apabila mereka sudah berada di alam tersebut.


Dulu memang tiada perancangan langsung di dalam buku catatan sebelum berkahwin. Hanya yang ada jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi perkahwinan, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama dan lain-lain lagi tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab sedangkan perkahwinan itu amanah. Katanya cukup kursus pra-perkahwinan.


"Mulut memang mudah menutur namun apakah akan sepersis perilaku?"


Kita mudah memahami nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela, di helaian novel atau cerpen. Sesungguhnya, adakala memang  benar juga apabila sampai kepada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur. Namun, ianya berlalu bagaikan air dan tidak ada muhasabah. Air mata bercucuran kerana terlalu emosi menonton drama kegemaran tetapi kita lupa bahawa kita mungkin akan menghadapi  keadaan yang sama kelak.


Kita ialah jiwa hamba. Jiwa kecil kita ini mudah tersentuh apabila perasaan tidak serasi dengan fitrah. Fitrah manusia normal senang hanyut sekiranya tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat atau sihat tubuh badan tetapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadangkala apabila pernikahan terbina bukan kerana cinta kepada Ilahi maka tumbuhlah tunas-tunas lalang menghalang cahaya cinta Ilahi daripada terus menerjah ke sumur hati.


Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah atau baik hidup membujang. Kita juga lupa apabila sudah berkahwin tiada lagi wangian melekat di badan seperti seawal bercinta dahulu. Kini yang tinggal hanya bau yang tidak menyenangkan lantaran penat bekerja. Kini barulah kita tahu tembelang sebenar pasangan. Si suami bangun lewat tatkala waktu Subuh dan si isteri pulang lewat malam tanpa keizinan.


Memang susah mencari seorang Adam yang terfikir untuk berkahwin supaya mempunyai seorang Hawa yang halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan di dunia sahaja.  Apabila timbul soal perkahwinan ianya hanya berupa material luaran sahaja. Tiada lagi pertimbangan rohani dan tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia atau mengerti tentang si dia. Isteri pula hanya sekadar alat untuk melepaskan tempias nafsu semata-mata.


Kita bukan sahaja hipokrit dengan pasangan  malah bersikap munafiq dengan Allah SWT. Kita mengharapkan si dia sempurna tetapi adakah kita sedar pasangan kita juga menagih kebaikan dan tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti yang kita ikrarkan dulu.


Benar qadha' dan qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang tetapi Allah SWT yang menetukan soal  jodoh, maut, dan rezeki kita. Tidak penting di mana kita bermula tetapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi. Ianya umpama mengemudi sebuah kapal yang penuh dengan barangan dagangan untuk di layari di tengah-tengah lautan, ia adalah tanggungjawab. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak dan pelayaran tetap diteruskan. Hanya yang tinggal ialah kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda dan kelasinya.


Wednesday, March 02, 2011

Wahai hati, bersabarlah.

Tuhan beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah 2:155]"
Bila diuji, bersabarlah wahai hati. Musibah itu datang dalam pelbagai cara, dan merupakan tarbiyah dari Allah bagi mereka yang celik hati & akalnya.